Hari melangsungkan majlis pernikahan pastinya merupakan saat-saat yang paling indah dan bermakna bagi pasangan suami isteri. Tempias kegembiraan ini turut sama dirasai oleh tok Kadi yang bakal menjadi jurunikah, tidak kiralah majlis pernikahan tersebut melibatkan pasangan mempelai seorang teruna atau dara, duda atau janda mahupun pasangan yang lewat usia. Maklumlah selain pasangan yang ingin bernikah, kehadiran jurunikah juga amat dinanti-nantikan, sebab kalau tiada Kadi macam mana nak bernikahkan?
Bagi pasangan yang bakal berumahtangga pula, semestinya hari yang bersejarah ini dinantikan dengan penuh debaran. Segala perancangan pada hari nikah pastinya disusun dengan rapi seumpana yang kita tonton dalam siri drama Kisah Tok Kadi sedikit masa dulukan?
Namun dalam kita sibuk menyusun perancangan untuk hari bahagia, jangan dilupa aspek keberkatan agar majlis pernikahan yang diharapkan hanya sekali dalam hidup ini – kecualilah bagi sesiapa yang ingin berumahtangga lebih dari sekali! – diredhai oleh Allah dan diberikan kerahmatan oleh-Nya. Jadi persoalannya bagaimana dapat kita perolehi keberkatan dalam perkahwinan serta mendapat keredhaan-Nya?
Untuk menjawab persoalan ini, bersama ini saya sertakan beberapa peringatan kepada bakal mempelai yang dapat kita renungkan hasil pemerhatian saya dalam majlis-majlis pernikahan yang pernah saya hadiri selaku saksi mahupun ketika pernah menjadi Naib Kadi dahulu. Antaranya:
1. Foto Ala Suami-Isteri
Amalan menayangkan foto bersama yang diambil sebelum nikah sebegini semakin berleluasa di kalangan pengantin Melayu-Islam. Kadangkala pula kad jemputan walimah juga berlatar belakangkan gambar bersama lengkap dengan pakaian pengantin!
Suka diingatkan agar pasangan mempelai dapat bersabar sedikit sehinggalah selepas diijab kabulkan, bak kata pepatah ’Tak akan lari gunung dikejar!’ Lepas diijab kabulkan, bergambarlah sebanyak mana yang kita hendak…
2. Pakaian
Memilih pakaian untuk hari pernikahan pastinya merupakan saat yang paling ghairah bagi sebilangan besar mempelai khususnya pengantin wanita. Maklumlah cik Abang biasanya tidak cerewet, berbaju kurung dengan bersamping dan bertanjak atau bersongkok dah kelihatan kacak dan bergaya.
Tidak salah untuk ingin kelihatan anggun, tetapi janganlah sampai ke peringkat melampaui batas sehingga pakaian yang dipilih bukan sahaja sehingga menampakkan bentuk tubuh badan tertentu tetapi juga sehingga mendedahkan kepada susuk tubuh yang tidak patut didedahkan.
Dalam hal ini, mungkin para ibu bapa dapat memainkan peranan dalam memantau pakaian yang dipilih oleh anak perempuan kita.
3. Khutbah Nikah
Saat yang paling penting ketika majlis akad nikah ialah ketika khutbah nikah dibacakan oleh tok Kadi. Ini kerana ketika ini, jurunikah akan menerangkan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh bakal suami isteri dalam mengharungi kehidupan berumahtangga.
Sering saat yang seharusnya hening dan sepi ini ditenggelami oleh helaian tawa riang hadirin, sembang di antara tetamu serta deringan telefon pengunjung majlis. Ini tidak dibantu pula dengan keadaan sesetengah pengantin wanita yang tidak mengambil kisah untuk mendengarkan khutbah tetapi berbual pula dengan teman di sebelah.
4. Lafaz Akad Nikah
Kerap apabila lafaz penerimaan nikah pengantin lelaki yang berjaya diungkapkan dengan sempurna akan disambut dengan tawa riang serta kadangkala diiringi dengan tepuk tangan dan sorakan tetamu khususnya daripada teman dan sahabat handai pengantin lelaki.
Alangkah baiknya, jika kegembiraan tersebut diiringi dengan ucapan kesyukuran dan pujian kepada yang Maha Esa selain kita mendoakan keberkatan dan keselamatan kepada kedua mempelai.
Ingatlah, disebalik kejayaan lafaz penerimaan nikah, tersimpul tanggungjawab baru yang amat berat dipikul oleh sang suami yang diambil alih daripada wali pengantin wanita.
5. Solat
Suka diingatkan dalam keadaan kita sibuk bergambar dan bertukar-tukar pakaian selaku raja sehari. Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim usah dilupakan.
Janganlah sekali-sekali kita meninggalkan atau mengqadha’kan solat lantaran kerana alasan kesibukan majlis atau kesulitan membersihkan mekap. Malahan, jadikanlah hari pernikahan kita sebagai satu permulaan untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan agar kita sentiasa perolehi rahmat Allah.
Justeru itu, setiap bakal pasangan suami isteri perlu merancang dengan teliti majlis pernikahan mereka, agar perjalanan majlis tidak mengganggu kita dalam menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa.
Diharapkan segala peringatan di atas dapat dijadikan antara checklist penting sebagai tambahan daripada persediaan sedia ada dalam melangsungkan majlis pernikahan. Semoga majlis pernikahan yang dijalankan nanti bukan sahaja meriah tetapi juga diberkati Allah hendaknya.
Amin Ya Rabbal ’Alamin.
Bagi menyertai program edisi persiapan berumahtangga, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes
Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,
Bagi yang ingin membaca artikel-artikel lain yang menarik berkenaan informasi tentang rumahtangga, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/articles/categories/rumahtangga
Pengunduh Gambar Mini YouTube - Lihat dan Unduh Thumbnail