top of page
Writer's pictureYusri Yusoff

3 Cara Menjadi Menantu Pilihan

Updated: Nov 1, 2020

Sebagai lanjutan dari kisah ibu mertua dan menantu perempuan pada artikel yang lalu, kali ini pula, saya akan berkongsi satu sesi kaunseling yang pernah saya kendalikan membabitkan sepasang suami isteri yang menghadapi masaalah rumahtangga akibat konflik si isteri dengan ibu mertua. Rumahtangga pasangan ini baru berusia kurang dari 5 tahun, dan baru mempunyai seorang anak kecil dan sekarang si isteri sedang mengandungkan anak kedua.


Mertua Selalu Datang Rumah

Isterinya mengadu bahawa ibu mertuanya selalu datang rumah dan suka lepas cakap dan memerhatikan segala gerak geri beliau termasuk cara beliau menjaga anak kecilnya. Si ibu mertua akan komen pada anak menantu, jika didapati ada sesuatu perkara yang tidak kena. Katakanlah baju yang dipakai cucunya ronyok. Jika beliau tidak puas hati, si ibu mertua akan langsung menegur pada menantu tanpa beralas. Akibat kelakuan ibu mertua, si anak menantu merasa tertekan, lebih-lebih lagi dalam keadaan beliau yang berbadan dua dan pernah melahirkan hasrat untuk berpisah dengan suami kerana tidak tahan dengan perangai ibu mertua.


Terdapat beberapa saranan saya pada kedua pasangan ini tentang cara-cara bagi menangani isu perbalahan antara si anak menantu dengan ibu mertua ini. Antara saranan tersebut ialah:


Pertama: Menganggap ibu mertua seperti ibu sendiri

Sebelum saya mencadangkan perkara di atas, saya terlebih dahulu bertanya bagaimana kelakuan ibu mertua dengan anak-anaknya yang lain, adakah sama sebagaimana kelakuan beliau dengan anak menantunya? Jawapan si suami: Ya, memang sama. Macam itulah cari ibunya dengan anak-anaknya sendiri. Beliau suka cakap berlepas dan tidak beralas. Saya membuat kesimpulan memang itulah cara ibu mertua beliau. Saya berpandangan, beliau sebenarnya tidak berniat untuk menyakitkan hati menantu, tapi lebih kerana beliau suka berterus terang dan tidak pandai berbasah basi. Selain dari itu, mungkin dia berasakan anak menantunya sudah seperti anak sendiri! Saya bertanya sekali lagi pada si suami, adakah ibunya memang suka bercakap lepas dengan orang lain selain dari anak sendiri? Beliau menjawab dengan tegas, ‘tidak’. Hmmph, betullah telahan saya!


Lalu saya ajukan soalan kepada mereka: ‘Mengapa tidak kita anggap ibu mertua macam ibu kita sendiri juga?’ Kenapa saya kata demikian? Cuba bayangkan, jika katakan ibu kita sendiri yang komen baju anak kita selekeh, atau ibu sendiri yang kata kita tak pandai jaga layan anak? Kita marah tak? Paling tidak kita akan katakan, ‘Apalah mak ni!’, dan perkara itu akan selesai begitu sahaja. Memang betul, berkemungkinan ibu kita tidak akan komen begitu, tapi kalau kita layankan sahaja, dan tidak ambil pusing macam kita layankan ibu kita. Agak-agaknya ada masaalah tak?


Bayangkan, jika anak tegur kelakuan si ibu atau menantu yang tegur sendiri? Si ibu akan rasa merasa kecil hati. Beliau akan mula terpaksa kawal kebiasaan dan tabiatnya yang suka ‘cakap lepas’. Tapi kesiankan? Beliau terpaksa kawal diri dan lidah dengan anak menantu yang mungkin dah dianggap seperti anak sendiri. Sedakan sudah menjadi seperti orang luar pula.

Pasti si ibu akan merasa janggal dan dalam hal ini keadaan akan menjadi lebih rumit dan tegang seterusnya membuatkan hubungan antara pasangan ini dengan ibu semakin renggang.


Kedua: Mengubah Minda Apabila Berhadapan Dengan Mertua

Sebagai langkah untuk kawal rasa marah pada mertua ialah bila kita ‘set’ atau tentukan minda kita sebelum datang rumah mertua untuk menerima apa sahaja komen atau kritikan yang bakal dilemparkan oleh mertua pada kita. Bila kita dah ‘set’ atau kunci minda kita sebegitu rupa, ini akan membuatkan kita lebih bersedia menerima komen-komen ‘bernas’ mertua kita itu, seterusnya kemarahan tidak meluap-luap seperti mana biasa. Lagipun tidakkah mertua kita itukan seumpama ibu kandung kita juga?


Pada masa yang sama, dengan mengubah minda kita lebih awal, ia secara tidak langsung membantu kita lebih positif dan berfikiran terbuka dengan segala teguran yang kita terima. Tidak mustahil, segala leteran dan kemarahan mertua itu sebenarnya bertitik tolak dari kita juga.


Seperkara lagi, adalah penting sebagai anak menantu dan orang yang jauh lebih muda, untuk bertindak mengalah dan meminta maaf. Malah, tiada salahnya untuk kita meminta maaf walaupun dalam keadaan kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Tindakan ini sedikit sebanyak bukan sahaja menyejukkan hati mertua yang sedang membara, tetapi juga sebenarnya meredakan suasana dan membantu keadaan pulih seperti sedia kala.


Ketiga: Sokongan suami dalam membantu isteri mengeratkan hubungan dengan mertua

Peranan suami di sini sangat-sangat genting. Bagi pihak suami perlu seboleh-bolehnya bersikap neutral dan tidak kelihatan terlalu menangkan ibu sendiri walaupun ibu betul. Cuba letakkan diri kita dalam keadaan isteri agar kita lebih bersimpati. Lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri yang sedang hamil, pasti emosinya lebih mudah terganggu. Dengan ini, si isteri akan lihat bahawa kita memahami hatinya, selepas itu barulah cuba nasihatkan dan bincang dengan isteri bagaimana dapat diatasi atau diperbaiki hubungan antara beliau dengan ibu.


Paling penting suami tidak boleh memandang perkara ini sebagai satu isu yang kecil, ianya perlu dipandang serius agar ianya tidak melarat yang akhirnya berkemungkinan boleh berlaku kepada perceraian jika tidak kita berhati-hati. Apa yang penting bila berdepan dengan hal senario seumpama ini, kita perlu bersikap positif dengan tidak memandang kesilapan orang lain sahaja, tetapi melihat bagaimana kita dapat memperbaiki diri agar dapat mengubah persepsi orang lain yakni mertua pada kita.


Di samping pada masa yang sama bersetuju mengubah minda kita dan menganggap ibu mertua seperti ibu sendiri. Insha Allah, keadaan akan menjadi lebih terkawal dan seterusnya rumah tangga akan menjadi lebih harmoni.



Bagi yang ingin memiliki buku Warna-Warni Kehidupan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front


Bagi mengetahui kursus-kursus menarik berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes


Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,


Menantu Pilihan
Menjadi menantu pilihan yang disayangi mertua

344 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page